Hamdan dilantik semula Speaker Dun Perlis

Hamdan dilantik semula Speaker  Dun Perlis

Datuk Hamdan Bahari dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis bagi penggal ke-14 di Kompleks Dun di Kangar, hari ini.

Hamdan adalah nama tunggal dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man untuk memegang jawatan itu dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chuping Asmaiza Ahmad.

Bekas pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Perlis itu sebelum ini adalah Speaker Dun menggantikan Datuk Yazid Mat pada 2013.

Pada majlis hari ini, semua 15 Adun Perlis termasuk lima anggota pembangkang dan seorang bebas mengangkat sumpah sebagai anggota dewan di hadapan Hamdan.

Majlis angkat sumpah itu bermula dengan Azlan, yang juga Adun Bintong.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang Dun Ke-14 pada Isnin.

Persidangan Dun akan berlangsung dari Isnin hingga Rabu depan.