Pengkritik 1MDB kini ketuai SB Malaysia

Pengkritik 1MDB yang disingkirkan kini menjadi Ketua SB Malaysia – Gambar Malaysia Decides.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas yang disingkirkan, Datuk Seri Hamid Bador dilaporkan memulakan tugas sebagai Pengarah Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia hari ini.

Menurut laman aplikasi berita Malaysia Decides, pegawai kanan perisikan yang disingkir pada tahun 2015 kerana lantang mengkritik 1MDB itu menggantikan bekas Pengarah SB, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif yang bersara awal.

Hamid diminta kembali berkhidmat oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor laman aplikasi berita itu.

Minggu lalu, Hamid dilihat menyertai pertemuan tertutup dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana selepas dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau kemudian dilantik oleh Mahathir ke dalam Pasukan Petugas Khas 1MDB bersama tiga lagi yang lain termasuk bekas Peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul.

Hamid (kiri sekali) salah seorang 4 anggota Pasukan Petugas Khas 1MDB.

Hamid dijangka mengetuai siasatan untuk membawa balik wang negara dan mengenalpasti pihak yang terlibat dalam skandal terbesar itu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dalam proses soalsiasat oleh SPRM berikutan dakwaan terlibat dalam skandal 1MDB dan SRC International yang membawa wangnya berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun beliau itu.