Malaysia Dateline

Hamidah anggap Bersatu dapat kerusi ‘gred D’

 

Bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman menyifatkan parti dipengerusikan Tun Dr Mahathir itu hanya memperoleh kerusi ‘gred D’ iaitu yang sukar dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, pembahagian kerusi yang akan ditandingi parti-parti dalam Pakatan Harapan itu menyaksikan Bersatu mendapat kerusi yang merupakan kubu kuat Umno.

“Terus terang saya cakap kerusi itu bukanlah mudah dimenangi, payah. Kalau ‘gred C’ masih lulus lagi tapi ini ‘gred D’, kalau lulus pun ‘gred D’, tahap hidung sahaja.

“Dalam soal ini, Bersatu diberikan satu tugas yang amat berat. Kerusi yang AMANAH tak boleh menang diberikan kepada PPBM.

“Ibarat ‘orang lain makan daging, kita makan kuah’ sajalah,” dipetik daripada wawancara beliau di akhbar Mingguan Malaysia semalam.

Untuk rekod, pembahagian 165 kerusi Parlimen di Semenanjung menyaksikan Bersatu menerima kerusi terbanyak iaitu 52 kerusi.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam pada 7 Januari lalu juga mengumumkan PKR akan bertanding di 51 kerusi diikuti DAP (35) dan AMANAH 27 kerusi.

Mengulas lanjut, Hamidah berkata, keupayaan Bersatu untuk menang terlalu sukar berbanding DAP yang dijangka boleh memenangi sehingga 70 peratus kerusi sekali gus menyaksikan DAP menguasai Pakatan Harapan.

“Sudah pasti mereka (DAP) akan dapat pertahankan. Maka, akhirnya akan jadilah juga senario DAP tetap dominan dalam Pakatan Harapan dan DAP tetap memiliki kerusi majoriti.

“Kerusi yang diagihkan kepada DAP ini rata-ratanya 50, 60, atau 70 peratus kerusi mudah untuk mereka pertahankan. Sedangkan PPBM 15 kerusi nak menang pun payah,” kata bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat jurang kemenangan antara Bersatu dan DAP akan mengundang isu tentang pencalonan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan mendapat mandat PRU-14 nanti.

“Apakah kekuatan kerajaan mereka (Pakatan Harapan) akan buat jika Perdana Menterinya datang dari sebuah parti yang paling lemah?” soal Hamidah lagi yang merupakan antara penggerak utama Bersatu Perak.