Hamidah serah pada peguam, Hamizura setuju bertemu Syed Saddiq

Hamidah serah pada peguam, Hamizura setuju bertemu Syed Saddiq

Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Hamidah Osman akan menyerahkan kemelut pertelagahannya dengan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pihak peguam tanpa mahu menyertai mana-mana usaha ke arah perdamaian sebagaimana ditawarkan Exco Wanita PKR Syahrul Ema Rena Abu Samah semalam.

Menerusi pesanan whataps kepada Malaysia Dateline Hamidah berkata:” Saya sudah lantik peguam dan saya akan minta pandangan peguam dulu,” ujarnya.

Ditanya sama ada ia membawa maksud beliau tidak akan menyertai pertemuan tiga pihak yang diatur Syahrul Ema Rena atau lebih dikenali dengan panggilan Ratu Naga pada 10 Oktober ini?

Hamidah berkata: “Ya. Tetapi bukan saya tak mahu pergi tapi saya dah lantik peguam. Kalau dia tidak cabar saya mungkin saya tidak panjangkan perkara ini.” ujarnya.

Manakala hari ini adik kepada Hamidah, bekas aktivis Bersatu Perak Hamizura Osman pula telah memuat naik status yang menggambarkan beliau berbesar hati dengan usaha mencari perdamaian antara tiga pihak yang cuba dilakukan oleh Syarul Ema Rena.

Status yang dimuat naik Hamizura petang ini di laman facebooknya memberi respon terhadap usaha Ratu Naga.

Hamizura berkata:” Kak Zura dengan berbesar hati menerima jemputan Ratu Naga untuk bertemu dan berbicara dari hati ke hati bersama Syed Saddiq.

“Terima kasih dengan usaha yang baik ini. Nampaknya dalam ramai-ramai pemimpin Pakatan Harapan hanya Ratu Naga yang ada keberanian dan kesungguhan menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Semalam Syed Saddiq menyambut baik hasrat Syarul Ema Rina untuk menjadi pendamai bagi mengaturkan satu pertemuan membabitkan Hamidah dan Hamizura.

Dalam kenyataan Syarul Ema Rena semalam, beliau berhasrat untuk menjadi pendamai bagi meleraikan kekusutan dan salah faham yang berlaku membabitkan Syed Saddiq, Hamidah dan Hamizura.

Hasratnya berbuat demikian kerana berasa kesal dengan kekusutan yang berlaku antara pemimpin utama dan bekas ahli Bersatu itu, demi kepentingan dan kelansungan Pakatan Harapan agar tidak lari fokus dalam usaha untuk bersama menjatuhkan Umno-BN, beliau mengambil langkah untuk menjadi pendamai.

Supaya pertelingkahan ini tidak berlarutan yang akan memberi laluan kepada Umno-BN untuk menyerang kepimpinan Pakatan Harapan.

Sebagai rekod pada Selasa bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Hamidah Osman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa menuduhnya sebagai ejen Umno.

Ini kerana Syed Saddiq dalam sidang akhbarnya pada Isnin menjelaskan ada cubaan daripada seseorang di luar Pakatan Harapan cuba menyogoknya dengan wang bernilai RM5 juta sekiranya meninggalkan PPBM selain mendakwa dijanjikan dengan peruntukan untuk membuka sekolah debat di seluruh negara selain mengaitkan beberapa nama dari partinya turut menerima sogokan untuk meninggalkan parti.

Bagaimanapun Hamizura yang tidak senang dengan kenyataan Syed Saddiq itu memberikan komen di dalam laman facebooknya yang dipetik berkata, sikap pelik Syed Saddiq yang pernah menyuruh kakaknya ‘berambus’ daripada parti itu, namun apabila bekas Naib Presiden Bersatu itu keluar parti secara sukerala, kakaknya itu dituduh pula menerima sogokan wang.

Baca: Syed Saddiq setuju dengan hasrat Ratu Naga tawarkan diri jadi pendamai 

Baca: Ratu Naga mahu jadi pendamai kepada tiga pimpinan Bersatu yang bertelagah

5.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 1.0
CATEGORIES
TAGS