Hamidin lepas jawatan naib presiden AFF

Hamidin lepas jawatan naib presiden AFF

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin melepaskan jawatan selaku naib presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi penggal 2019-2023 yang dimenanginya pada Mac lepas.

FAM dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu diambil Hamidin sehari selepas pelantikannya sebagai anggota jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019-2023 pada 6 April lepas melalui surat yang dikirim kepada Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth.

“Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan anggota gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden AFF berkuat kuasa serta-merta.

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Jeneral Sameth, keputusan diambil ini bukan sahaja membolehkan saya lebih fokus pada tanggungjawab saya sebagai anggota exco AFC malah ia membuka laluan kepada rakan-rakan negara jiran menyumbang tenaga sebagai naib presiden AFF,” kata Hamidin seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Pada Kongress AFF di Siem Reap, Kemboja, 17 Mac lepas, Hamidin bersama Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi tiga kerusi naib presiden AFF tanpa bertanding.

AFF kini diterajui Sameth dari Kemboja, menggantikan Sultan Ahmad Shah yang menolak pencalonan atas sebab kesihatan.

Sameth menang tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.- BERNAMA