Malaysia Dateline

Hampir 1,300 ahli politik, pegawai kerajaan dalam ‘teropong’ SPRM

Sebanyak 1,296 nama ahli politik dan pegawai kerajaan berada dalam fail siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2018 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka itu, 218 sabitan telah dibuat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, jumlah maklumat berkaitan rasuah yang diterima SPRM terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan bagi 2018 hingga Jun 2020 adalah sebanyak 6,237.

“Sebanyak 1,296 kertas siasatan telah dibuka manakala jumlah sabitan sepanjang tempoh itu adalah 218.

“Tidak semua maklumat yang diterima SPRM berunsur rasuah dan memenuhi kriteria. Kertas siasatan dibuka berdasarkan kepada maklumat berkualiti yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew berhubung hal tersebut.

Antara siasatan terbesar SPRM adalah berkenaan dana SRC berjumlah RM42 juta terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Semalam, bekas Pengerusi BN itu dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 72 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, hukuman penjara itu dijalankan serentak menjadikan tempoh sebenar kepada 12 tahun.