Malaysia Dateline

Hampir 160,000 pekerja diberhenti, 15,537 perniagaan ‘bungkus’ ketika Covid-19

Seramai 155,893 orang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19, dedah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam jawapan Parlimen semalam.

Menurutnya, pemberhentian kerja dilakukan menurut undang-undang, justeru tiada seorang pun daripada 5,959 majikan dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar Akta Kerja 1955.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa bertindak proaktif dalam membantu dan mengesan pekerja tempatan yang terlibat dengan pemberhentian pekerja yang disebabkan oleh pandemik.

“Pada tahun 2020 sehingga Julai 2021, sebanyak 5,095 majikan memberhentikan seramai 141,191 pekerja di Semenanjung Malaysia.

“Manakala bagi negeri Sarawak, sebanyak 509 majikan terlibat dengan pemberhentian melibatkan seramai 8,996 orang pekerja dalam tempoh yang sama.

“Di negeri Sabah pula, 355 majikan terlibat dalam pemberhentian seramai 5,706 pekerja dalam tempoh 2020 hingga September 2021 yang melibatkan sektor penginapan dan rantaian perkhidmatan makanan serta minuman, sektor pembuatan, sektor pembinaan dan sektor pentadbiran dan khidmat sokongan,” jelasnya.

Beliau menegaskan kementerian itu juga telah memantau keadaan dengan rapi untuk memastikan bahawa hak dan kebajikan pekerja tidak diabaikan.

Sehubungan itu, ujarnya, majikan diwajibkan untuk mengemukakan Borang Pemberhentian (PK) dalam tempoh 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dilakukan sebagaimana Seksyen 63, Akta Kerja 1955.

“Ini bertujuan memastikan hak-hak pekerja dibayar mengikut undang-undang dari segi pembayaran faedah penamatan kerja, notis penamatan dan lain-lain faedah kewangan,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, majikan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada atau melanggar peruntukan di bawah akta, apabila sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

“Sehingga kini tiada tindakan pendakwaan yang dibuat ke atas majikan kerana majikan yang memberhentikan pekerja mematuhi peruntukan di bawah seksyen ini,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya untuk memberikan jumlah majikan yang telah diambil tindakan memberhentikan pekerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 2020 hingga sekarang.

Sementara itu, sebanyak 15,537 perniagaan terpaksa ditutup dari 2020 hingga bulan lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Perniagaan terbabit, jelasnya, melibatkan sektor perdagangan jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal.

Terdahulu, Rozman Isli (Warisan-Labuan) meminta menteri untuk memberikan angka perniagaan yang berakhir ketika pandemik.

Walau bagaimanapun, Alexander memberitahu pola serupa juga berlaku sebelum pandemik Covid-19 pada 2019 apabila 13,527 perniagaan gulung tikar.

“Pada tahun 2020, jumlah penamatan perniagaan yang melibatkan sektor perdagangan jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal ialah sebanyak 10,487 perniagaan manakala sebanyak 5,050 perniagaan dalam sektor ini telah menamatkan perniagaan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021,” jelas Rozman.