Setelah 19 tahun bertunang, Michelle Yeoh akhirnya kahwini bekas CEO Ferrari

Oleh WAN SITI AMINAH

Setelah 19 tahun mengikat tali pertunangan, pelakon lagenda, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya mendirikan rumah tangga bersama kekasihnya, Jean Todt.

Merupakan orang kenamaan, Todt yang berusia 77 tahun itu pernah bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Scuderia Ferrari antara 2004 hingga 2007.

Sah bergelar suami isteri, Yeoh dan Todt disatukan di dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Geneva, Switzerland.

Khabar gembira itu dikongsikan oleh bekas pelumba Formula One, Felipe Massa menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.

“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” kongsi pelumba kelahiran Brazil itu.

Hampir dua dekad bercinta, bintang Hollywood tersebut mula berkenalan dengan lelaki kelahiran Perancis itu di Shanghai, China, pada Jun 2004.

Bintang popular kelahiran Ipoh itu berada di Shanghai kerana terlibat di dalam program publisiti untuk jenama kereta mewah, Ferrari.

Pada 26 Julai tahun yang sama iaitu selepas tiga minggu berkenalan, Todt membuat keputusan untuk melamar Yeoh menjadi teman hidupnya.

Terdahulu, Yeoh melakar sejarah pada bulan Mac lalu apabila berjaya menjadi wanita Asia pertama memenangi Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik.

Nampaknya, 2023 telah menjadi tahun penuh bermakna dan menggembirakan buat lagenda yang berusia 60 tahun itu.

Baca juga: Kelawar masak lemak, rupanya menu istimewa ini dari negara jiran