Malaysia Dateline

Hampir 20,000 individu hadir saringan COVID-19 percuma kerajaan Selangor

Sejak 8 Mei 2021 sehingga semalam (20 Mei) hampir 20,000 individu telah menghadiri ujian saringan COVID-19 secara percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Saringan ini dibuat bagi mengesan kes-kes positif bagi mengelak ‘silent carrier’ dan memutuskan rantaian perebakan.

“Ini juga adalah antara faktor menyumbang jumlah kes yang tinggi di Selangor,” demikian menurut Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari.

Namun katanya usaha ini adalah perlu bagi memastikan individu positif tidak menyebarkan virus tanpa disedari.

Langkah ini sekurang-kurangnya membolehkan kerajaan mengesan hampir 80 peratus individu berusia di antara 20 hingga 40 tahun yang didapati positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Saringan Komuniti Bersasar kepada warganya secara percuma bermula 8 Mei sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan sasaran dua Dun dalam sehari.

Saringan bermula di Dun Kajang dan Semenyih, dan seterusnya Dun Sungai Ramal serta Balakong.

Setakat ini sebanyak 14 DUN telah mengadakan membuat ujian saringan percuma di kawasan masing-masing.

Inisiatif itu dilakukan memandangkan kebanyakan warga negeri itu yang tidak bergejala atau pembawa penyakit senyap sehingga menyebabkan Gelombang Keempat wabak.

Ia juga selaras dengan prinsip Find, Trace, Test, Isolate dan Support System (FTTIS) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor.