Malaysia Dateline

Hampir 4000 penjawat awam Pulau Pinang terima bantuan khas

Seramai 3,996 penjawat awam Negeri Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minima sejumlah RM1000 melibatkan bayaran berjumlah RM5.42 juta.

Demikian diumumkan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow semasa membentangkan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang ‘Penang 2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama’ semalam.

Selain itu katanya, fokus belanjawan adalah bagi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 dengan berteraskan visi Penang 2030.

Jelas beliau lagi, tema ‘Penang 2020 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama’ merupakan iltizam untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang maju, pintar dan hijau dengan menitikberatkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

“Belanjawan 2020 memberi fokus terhadap empat agenda utama iaitu bagi meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan.

“Manakala tumpuan seterusnya adalah untuk menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Selain itu ia juga akan memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat serta melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan, ” ujarnya.

Chow juga berkata, bantuan khas kewangan dalam bajet 2020 bukan hanya kepada penjawat awam sahaja, sebaliknya ia turut diberikan sebanyak RM300 seorang kepada 1,594 penyelia Kelas Agama dan Fardhu Ain , 275 guru Sekolah Rendah Agama serta 185 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat.

“Bantuan khas kewangan tersebut turut diberikan kepada 583 guru dan staf Sekolah Persendirian Cina.

“Seramai 252 guru Tahfiz, guru Sekolah Pondok dan guru Tadika Islam atau Tadis akan juga menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM200 seorang.

“Bayaran bagi bantuan khas kewangan tersebut akan dibayar pada Disember 2019, ” tegasnya.

Menurut Chow lagi, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi meneruskan bantuan kewangan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan Tamil serta Sekolah Persendirian.

Disamping itu tambahnya, sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan jika dibandingkan sebanyak RM3 juta bagi tahun sebelumnya.

Bagi memperkasakan institusi serta memelihara kepentingan agama Islam sejumlah RM60.05 juta telah pun diperuntukkan bagi bajet 2020 tersebut.