Malaysia Dateline

Hampir 50 rumah panjang di Julau langsung tidak terima liputan internet

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas agar masalah capaian internet di kawasan luar bandar di Sarawak ditangani dengan segera.

Katanya, kebanyakan penduduk Sarawak di kawasan Parlimennya terutama mereka di rumah-rumah panjang masih tidak mendapat capaian internet sehingga menyukarkan urusan seharian mereka.

“Menurut tinjauan saya, hampir 50 rumah panjang di enam kawasan di Julau tidak menerima langsung capaian internet terutamanya untuk anak-anak menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah ” katanya pada pada Sidang Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 semalam.

Malah, jelasnya, paling menyayat hati apabila sekitar Ogos lalu seorang pelajar perempuan maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai.

Jelas Larry lagi, ada juga pelajar yang terpaksa meredah kawasan hutan dan mendaki bukit bagi mendapatkan liputan internet dan ia amat membahayakan keselamatan mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) segera menangani isu tersebut supaya dapat memudahkan urusan rakyat di Julau.

Malah, Larry turut meminta agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi tumpuan terhadap isu bekalan air bersih yang masih di hadapi di Sarawak khususnya di kawasan Julau.

Tegasnya, hampir separuh penduduk di rumah panjang di Julau mencari nafkah sebagai pekebun kelapa sawit dan hanya bergantung kepada air sungai.

“Ia amat mendukacitakan dan kita semua sedia maklum bahawa air sungai tidak selamat untuk digunakan kerana kualiti air tidak bersih disebabkan pencemaran dan sebagainya.

“Saya mohon pertimbangan daripada KPLB supaya dapat mengatur sesuatu berkenaan bekalan air bersih di Julau khususnya di rumah- panjang bagi memastikan komuniti setempat mendapat bekalan air bersih yang selamat digunakan dalam kehidupan seharian.

“Saya turut memohon Kementerian Usahawan dan Koperasi (MEDAC) supaya dapat menambah sebuah lagi mesin juruwang automatik (ATM) Bank Rakyat di Pekan Julau dan sebuah mesin di Pakan untuk meringankan beban rakyat di Julau,” tambahnya lagi.