Malaysia Dateline

Hampir 77,000 pasangan bercerai sejak pandemik Covid-19 melanda

Sebanyak 76,786 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam dan bukan Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 66,440 kes daripada jumlah penceraian itu membabitkan pasangan beragama Islam manakala 10,346 kes cerai melibatkan golongan bukan Islam.

Menurutnya, bagi penceraian pasangan beragama Islam, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 kes di Terengganu.

Jelasnya, Pahang pula mencatatkan 5,058 daftar cerai, Sabah (4,010), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Pulau Pinang (2,978), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 kes di Sarawak.

Bagi daftar cerai pasangan bukan Islam, Selangor juga mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,893), Perak (1,209), Johor (1,197), Negeri Sembilan (861) dan Melaka (449).

Katanya, Pahang pula merekodkan 386 kes cerai pasangan bukan Islam disusuli Kedah (76), Perlis (41) dan 29 kes di Terengganu.

Ismail Sabri berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin).

Terdahulu, Dr Hasan meminta Perdana Menteri menyatakan statistik perceraian masyarakat luar bandar ketika pandemik dan sejauh mana kerajaan berusaha menangani masalah tersebut.

“Secara dasarnya Jabatan ini (Kehakiman Syariah Malaysia) mempunyai statistik umum berkaitan kes permohonan cerai yang telah difailkan di Mahkamah Syariah dan boleh
dijana melalui sistem e-Syariah.

“Namun demikian, Jabatan ini tidak mempunyai pecahan statistik khusus permohonan perceraian yang melibatkan masyarakat bandar mahupun luar bandar,” jelas Ismail lagi.