Malaysia Dateline

Hampir 8 bulan, mana janji Muhyiddin mahu naikkan elaun JKM kepada RM1,000?

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk segera mengotakan janjinya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang memberi jaminan akan menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sebulan.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, sudah hampir lapan bulan Muhyiddin berjanji mahu meningkatkan elaun bulanan, namun tidak ada sebarang tindakan setakat hari ini.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen Pagoh itu agar tidak menjadikan janji tersebut sekadar gula-gula pilihanraya.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini, kenaikan elaun RM1,000 sangat relevan terutama dapat mengurangkan beban ramai penerima elaun JKM seperti Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit terlantar dan sebagainya.

“Memandangkan kadar inflasi negara dijangka meningkat agak mendadak dalam bulan-bulan akan datang, kerajaan harus memastikan rakyat bersedia menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Muhyiddin dilapor mengusulkan kenaikan bantuan bulanan tersebut dan usaha membantu golongan B40 merupakan aspirasi kerajaan PN di bawah pimpinannya.

Muhyiddin berkata, golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian olehnya dan juga kerajaan.

Bantuan bulanan kepada penerima JKM pada masa ini sekitar RM200 dan RM300.

Sementara itu, Faiz menggesa agar kerajaan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi bersasar untuk kumpulan individu seperti Orang Kurang Upaya (OKU), miskin bandar, ibu tunggal, belia menganggur, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lagi menunggu ekonomi negara pulih dengan sendirinya, tetapi perlu terus proaktif menyokong proses pemulihan.

Malah kata Adun Permatang Pasir itu lagi, walaupun darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lebih tiga bulan lalu, namun masih tiada apa-apa pengumuman berkaitan pakej rangsangan ekonomi baharu oleh kerajaan PN.

“Bukan itu sahaja, pakej rangsangan ini harus memberi tumpuan terhadap individu-individu yang terlibat dalam sektor informal, kerana mereka ini selalunya terlepas daripada liputan banyak inisiatif kerajaan.

“Ramai pakar ekonomi menganggarkan PKP akan terus melemahkan proses pemulihan ekonomi negara. Berkemungkinan, sasaran kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.5 peratus hingga 7.5 peratus untuk tahun ini tidak dapat dicapai.

“Kerajaan PN perlu bertindak segera memastikan kebajikan dan sosio ekonomi rakyat terbela dan bukan hanya membela kepentingan politik dengan membayar elaun puluhan lantikan politik dalam Kabinet dan GLC,” katanya lagi.