Malaysia Dateline

Hampir 87 peratus keluar mengundi awal PRU Thailand

Sebanyak 86.98 peratus daripada jumlah keseluruhan 2.6 juta pengundi awal yang berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand, Ahad ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, Itthiporn Boonprakong, berkata kesemua 380 buah pusat  mengundi di seluruh negara itu merekodkan kehadiran lebih 90 peratus bilangan pengundi semalam.

Beliau berkata, isu dan aduan termasuk pegawai pilihan raya memberikan kertas undi yang salah, tiada maklumat calon dalam kertas undi serta menggunakan kad pengenalan orang lain akan ditangani sebelum hari pengundian.

“Suruhanjaya Pilihan Raya akan memastikan proses pengundian berjalan lancar, Ahad ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengundi awal yang gagal mengundi semalam tidak layak untuk mengundi pada hari pilihan raya itu.

Lebih 51 juta pengundi berdaftar berusia 18 tahun ke atas layak mengundi pada pilihan raya itu yang pertama kali diadakan selepas rampasan kuasa tentera pada 2014.

— BERNAMA