Bunga api ni walaupun tak nampak bahaya tapi kalau tercucuk di mana-mana bahagian anggota badan, ia tetap akan mendatangkan kecederaan.
Pernah ada pengalaman tidak enak dengan bunga api, penyanyi Nadeera Zaini mengakui ada satu insiden yang hampir menyebabkan dirinya kehilangan deria penghlihatan.
Kejadian yang berlaku saat dirinya masih kecil bagaimanapun memberi pengajaran tentang pentingnya pengawasan ibu bapa lapor Kosmo! Online.
“Saya pernah bermain bunga api pada malam raya, sepupu saya mencucuh bunga api dan hampir terkena mata kanan, nasib baik ayah sempat selamatkan.
“Hampir buta tapi syukur tiada kecederaan serius, ketika itu saya baru berumur empat tahun,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama dia mengakui pengalaman pahit itu bagaimanapun tidak memberikannya trauma.
“Saya tak serik dan tak trauma pun, mungkin sebab masih kanak-kanak ketika itu.
“Tapi, kalau mercun, memang takut sebab pernah bakar mercun dan terkena sikit,” tambahnya.
Penyanyi berusia 31 tahun itu bagaimanapun menasihati agar ibu bapa memberi pengawasan buat anak-anak yang bermain bunga api.
“Saya harap adik-adik di luar sana agar sentiasa berhati-hati ketika bermain. Ibu bapa pun harus terus memantau anak mereka.
“Memang seronok nak sambut raya tetapi kena beringat dan jaga keselamatan,” ujarnya.
Baca juga: Intan Najuwa risau anak 4 bulan tertekan hadap kesesakan trafik, rela tak pulang beraya