Hampir dicabul kaum sejenis, Tony Eusoff imbau kenangan pahit semasa remaja

Oleh MAISARAH AISYA

Dikala usia masih muda dan tidak terdedah akan mereka yang suka kaum sejenis pastinya akan merasa trauma diganggu golongan sedemikian.

Apatah lagi kita seharusnya merasa lebih selamat dengan kaum sejenis tapi lain pula kejadian zaman kini.

Buat pelakon Tony Eusoff, dia terimbau kenangan semasa zaman remajanya apabila hampir dicabul kaum sejenis yang lebih dewasa daripadanya lapor Kosmo! Online.

“Kejadian ini berlaku ketika saya masih di bangku sekolah di Kuching, Sarawak. Saya pernah ‘dipancing’ untuk ikut seorang lelaki berusia 40-an ke bilik hotelnya.

“Ketika itu saya sedang lepak di sebuah pusat beli belah. Tiba-tiba saya dilanggar seorang lelaki hingga menyebabkan fail yang dipegangnya terjatuh.

“Saya yang naif ketika itu rasa sangat bersalah dan gelabah kerana telah menyebabkan failnya terjatuh.

“Dari situlah kami mula berkenalan dan berbual. Tetapi lama-kelamaan dia mula bertanya tentang perkara peribadi daN dia mengajak saya ke hotel tempat penginapannya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Mula rasa ada yang tidak kena dengan lelaki yang mengaku dirinya seorang peguam, Tony menolak ajakan walaupun ‘dipancing’ dengan permainan video.

“Dia mengumpan saya dengan memberitahu bahawa di biliknya ada permainan Nintendo dan macam-macam lagi. Namun saya enggan turuti.

“Kemudian dia mengeluarkan fotonya dan memberikan kepada saya yang membuatkan saya berasa semakin pelik. Saya tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Ketika saya mahu beredar dia memujuk untuk saya ikutnya makan tengah hari. Bila saya enggan, dia terus tarik tangan saya.

“Saya yang panik ketika itu terus menjerit ketakutan dan lelaki tersebut terus beredar,” kongsinya.

Tambah Tony dia mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD) selama beberapa tahun akibat kejadia tersebut.

Pada ketika itu dia mengakui masih naif akan perasaan sesama jantina dan menganggap semua tertarik dengan jantina berlainan.

Ujar Tony, pengalaman hitam itu membuatkan dia trauma kerana tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.

“Selepas beberapa tahun dan sudah dewasa baru saya faham apa yang berlaku. Ketika itu saya masih belum faham seksualiti manusia itu seperti apa.

“Yang saya tahu lelaki suka perempuan dan sebaliknya. Bayangkan selama beberapa tahun saya alami gangguan stres pasca trauma (PTSD) sebab tak faham apa yang berlaku.

“Walaupun saya cuba untuk lupakan detik hitam tersebut, tetapi kadang-kadang momen itu kembali menghantui,” ujarnya.

Baca juga: Bukan biasa-biasa! Pemilik banglo 3 tingkat sewakan rumah kepada pelajar IPT, caj RM550 sekepala