Lagu-lagu kumpulan Floor88 sering menjadi siulan anak muda namun ramai perasan kebelakangan ini mereka kurang membuat persembahan.
Rupanya ada kisah sedih disebalik kurangnya kemunculan mereka, bekas pengurus kumpulan Floor 88 dikatakan menyeleweng wang.
Perkara tersebut disahkan vokalisnya, Ayie Elham berharap bekas pengurus kumpulan tersebut bertanggungjawab atas penipuan yang dibuat lapor Kosmo! Online.
“Saya mengharapkan dia datang berjumpa dengan kami berenam ataupun pihak syarikat rakaman sekali dan selesaikan masalah tersebut.
Pihak Rusa Music juga pesan untuk berhenti kongsi gambar dia atas nasihat peguam. Kami masih mahu beri peluang.
“Jika dia datang dan berhubung dengan kami pun akan ada proses yang perlu dia lalui tetapi setakat ini dia hanya berani berhubung dengan Eric sahaja,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Pada masa sama Ayie memaklumkan mental dia dan ahli kumpulan juga terganggu ditambah mereka semua ada keluarga yang perlu ditanggung.
“Secara peribadinya, mental saya terganggu sebab saya dengan dia pun rapat. Bila dia berkelakuan macam ini kita rasa sedih.
“Bukan itu sahaja, kami semua ada komitmen dan tambahan pula antara kami ada yang sudah berkeluarga termasuk saya. Jadi, sebagai rakan kami sangat terkilan.
“Kami juga sudah lama tiada tawaran persembahan yang kini boleh dikira pakai satu tangan sahaja sejak isu itu berlaku.
“Jadi macam mana kami nak bagi anak dan isteri makan,” katanya.
Pemain keyboard, Eric Fuzi berkongsi bahawa kumpulan mereka hampir disaman selepas tidak hadir ke acara dijanjikan selepas bekas pengurusnya berpura-pura menguruskan kerjaya kumpulan itu.
“Sekarang ini dia masih lagi menggunakan nama kami untuk terima tawaran persembahan. Itu yang kami rasa kami perlu buat kenyataan sebab kita tidak tahu dia berurusan dengan siapa.
“Kalau penganjur itu tidak tahu, dia ingat kita yang ambil duit tersebut sedangkan mereka berurusan dengan bekas pengurus kami. Ada beberapa pihak yang hampir saman kami sebab tidak hadir ke acara tersebut.
“Kami amat berterima kasih kepada penganjur tersebut kerana maklumkan perkara ini kepada kami. Kalau tidak kami pun tidak tahu perkara sebenar,” jelasnya.
Baca juga: “Nama saya Aliff Islam” – Ramai terhibur tengok Aliff Syukri lukis tahi lalat ‘RM1.5 juta’