Hampir pasti Pas ‘hidupkan’ Umno di Perak

Hampir pasti Pas ‘hidupkan’ Umno di Perak

Pas Perak yang hanya mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dilihat ‘menghidupkan’ Umno bagi tujuan membentuk kerajaan negeri.

Malam tadi, pemimpin Pas Perak mengadakan pertemuan dengan BN negeri di Ipoh dalam suasana yang dianggap Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Shaarani Mohamad sebagai ‘harmoni’.

Shaarani ketika ditemui pemberita memberitahu BN tidak memberikan sebarang tekanan terhadap Pas bagi mewujudkan kerajaan campuran di Perak.

Beliau berkata, pihaknya tetap mengambil kira hak Pas termasuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Razman (berjubah) bersalam dengan Shaarani di sebuah hotel di Ipoh malam tadi.

Walau bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataanya malam tadi memberitahu BN negeri telah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

“Justeru saya akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bagi menyembah maklum kedudukan terkini dan perkenan untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk,” ujarnya.

Dibacakan Pengarah Komunikasi dan Korporat Pejabat Menteri Besar, Nizamuddin Mat Isa, selanjutnya Zambry berkata, tidak ada parti memperoleh jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri Perak berdasarkan keputusan PRU-14.

“BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan Pas tiga kerusi,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria memberitahu syarat dalam kerjasama pembentukan kerajaan negeri tersebut termasuk tidak menghalang perjuangan Pas dalam Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Menegaskan peranan Pas sebagai ‘raja penentu’, Razman berkata kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi menjadikan Pas ‘kingmaker’ yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri.

“Dalam mesyuarat Pas Pusat esok (Jumaat), kita akan ada mandat daripada kepimpinan tertinggi dan selepas itu kita akan bawa mandat tersebut untuk membentuk kerajaan Perak,” jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Perak di sebuah hotel di Ipoh semalam.

Gabungan BN-Pas membolehkan kerajaan negeri Perak ditubuhkan dengan majoriti mudah 30 kerusi berbanding PH 29 kerusi.

Bagaimanapun perbincangan secara tidak rasmi antara Razman yang memenangi kerusi Dun Gunong Semanggol dengan Saarani Mohamad itu mengundang rasa tidak puas hati rakyat Perak yang menolak BN.

Rata-rata mereka di media sosial termasuk penyokong Pas mempersoal pendirian politik Pas selain menggesa Pas mengambil sikap bersendirian daripada berkerjasama dengan BN.

Ada yang menganggap kepimpinan Pas membohongi penyokongnya apabila tergamak berkerjasama dengan parti yang mempunyai banyak kes rasuah.

Pada masa sama, terdapat juga netizen yang menggalakkan Pas-Umno bergabung bagi membuktikan hasrat kerjasama kedua-dua parti itu yang sebelum ini pernah didedah berlaku pasca PRU 2008.

Selain Razman, Pas menang di Dun N5 Selama yang diwakili Mohd. Akmal Kamarudin dan di Dun N6 Kubu Gajah melalui Khalil Yahaya dengan majoriti tipis masing-masing 289 dan 180 undi.

Kedua-dua Dun itu terletak di bawah Parlimen P56 Larut yang dimenangi calon BN, Hamzah Zainudin.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0