Malaysia Dateline

Hampir RM1bilion peruntukan laksana 719 projek perparitan dan tebatan banjir di Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutan  telah melaksanakan 719 projek pemajuan perparitan dan tebatan banjir dengan peruntukan bernilai RM948juta  juta pada 2013 sehingga 2018.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari, sebanyak 369 projek yang bernilai RM155 juta telah pun dilaksanakan diseluruh negeri dengan menggunakan dana caruman perparitan, iaitu bayaran yang diwajibkan keatas projek-projek pemajuan.

“Sementara itu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah pun membelanjakan hampir RM43 juta untuk 37 projek tebatan banjir dalam masa yang sama.

“Disamping itu sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan bagi lapan projek berimpak tinggi oleh kerajaan negeri ekoran banjir besar pada November 2017.

“Daripada lapan projek tersebut, enam projek dalam status pembinaan, manakala dua lagi projek dalam proses tender oleh kerana penyempurnaan reka bentuk terperinci pada tahun ini, ” jelasnya.

Tegas beliau lagi, walaupun projek-projek berimpak tinggi ini mampu untuk mengurangkan banjir di kawasan-kawasan kritikal, ia hanya boleh berfungsi selepas penyempurnaan projek, dimana kebanyakannya dijadulkan pada tahun hadapan.

Tambahan kepada projek kerajaan negeri sedia ada, katanya, sejak tahun 2018, kerajaan persekutuan telah meluluskan lima projek yang bernilai RM200 juta termasuk projek tebatan banjir Sungai Pinang yang dinantikan sejak sekian lama.

“Sebelum tahun 2018, kerajaan negeri kurang menerima pembiayaan persekutuan untuk projek tebatan banjir.

“Secara keseluruhan, jika digabungkan projek-projek kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, sebanyak RM550 juta telah diperuntukkan untuk infrastruktur tebatan banjir di Pulau Pinang sejak 2013.

“Dakwaan pembangkang bahawa kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa bagi mengurangkan masalah banjir di Pulau Pinang adalah tidak berasas serta bersifat hipokrit, ” ujar beliau.