Malaysia Dateline

Hampir semua pimpinan Umno-BN turun petanda PRU-15 makin dekat

Walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dikatakan tidak sengit, hampir semua pimpinan Umno-BN turun berkempen.

Yusri Ibrahim

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ramai pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) mempamerkan diri mereka sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam PRK DUN Chini.

“Dikatakan bahawa ini adalah pilihan raya yang tidak sengit. Ini adalah pilihan raya yang tidak ada keperluan untuk BN berkempen berlebih-lebihan, sebab mereka dalam situasi parti menang.

“Tetapi, kalau kita tengok di lapangan Chini, hampir semua pimpinan BN dan Umno turun sejak peringkat awal seolah-olah mereka sedang menghadapi satu persaingan yang sengit.

“Ini adalah petunjuk yang sangat jelas bahawa PRU akan diadakan dalam waktu yang terdekat. Semua pimpinan, menteri, turun,” ujarnya.

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi menewaskan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli 137 undi.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Yusri berkata, bukan sekadar berkempen tentang Chini, tetapi ia adalah visibilty mereka nak bertanding dan sebagainya.

“Chini adalah medan terbaik untuk mempamerkan diri mereka. Inilah petanda PRU akan diadakan dalam waktu terdekat,” tambahnya lagi.