Hampir separuh jumlah kes jenayah bulan Januari diselesaikan: Ketua Polis Pulau Pinang

Hampir separuh jumlah kes jenayah bulan Januari diselesaikan: Ketua Polis Pulau Pinang

Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang berjaya menyelesaikan hampir separuh daripada 436 kes jenayah yang dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran hari ini berkata jumlah kes yang diselesaikan ini mewakili kira-kira 46.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan dan melepasi 45 peratus yang ditetapkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) penyelesaian kes.

“Walaupun jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan bagi Januari lepas meningkat sebanyak lima kes berbanding 431 kes sepanjang Disember lepas, peratus penyelesaian kes ini adalah satu perkembangan yang positif untuk permulaan tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurut beliau, kejayaan ini dicapai hasil komitmen tinggi pegawai dan anggota polis di negeri ini terhadap tugas mereka yang disokong oleh kesedaran masyarakat setempat mengenai peranan mereka dalam mengurangkan dan membanteras kegiatan jenayah.

Sementara itu, Narenasagaran dalam ucapannya pada majlis perhimpunan itu turut menekankan tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat dalam kegiatan yang boleh mencemarkan integriti jabatan mereka.

Sehingga kini, 13 anggota dan pegawai polis di negeri ini telah digantung kerja, sementara 20 lagi ditahan kerja.

“Sepanjang bulan Januari ini, 10 kertas siasatan tatatertib juga telah dibuka terhadap 16 pegawai rendah polis yang terlibat dalam kes pemerasan dan dadah,” katanya.

Pada perhimpunan itu, Narenasagaran turut menyempurnakan majlis kenaikan pangkat kepada enam pegawai kanan polis ke pangkat Deputi Superintenden Polis (DSP).

Perhimpunan ini juga adalah yang pertama bagi beliau sejak menjadi Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan Datuk Seri A Thaiveegan yang bersara bulan lepas.

— BERNAMA