Malaysia Dateline

Hampir setengah juta individu murung, pusat kesihatan mental akan diwujudkan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional bagi membantu memberi pertolongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pusat berkenaan bukannya satu tempat penyelidikan sebaliknya beliau mahu ia dijadikan sebagai satu tempat kebolehcapaian berkaitan isu kesihatan mental.

“Saya ingin membuat satu pengumuman besar, iaitu ingin menghidupkan semula cadangan untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional dan ia akan menjadi sebahagian daripada agenda (KKM).

“Selain kesihatan fizikal, KKM turut menitikberatkan mengenai isu kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting. Jadi dengan adanya pusat kesihatan mental ini, mereka yang mempunyai masalah boleh datang dan boleh mendapatkan pertolongan.

“Selain mengadakan kempen dan pelan strategik, pihak kementerian juga akan menambahbaik aplikasi MySejahtera supaya individu yang mempunyai masalah kesihatan mental ini boleh mendapatkan bantuan melalui aplikasi berkenaan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020-2025).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, laporan Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati prevalen kemurungan dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 2.3 peratus.

Ini bermakna, jelasnya, dianggarkan hampir 500,000 individu berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

“Pandemik Covid-19 mengakibatkan kebanyakan masyarakat terkesan daripada segi emosi dan kesihatan mental. Isu kesihatan mental kini menjadi satu pandemik senyap (silent pandemic) dengan berlakunya perubahan dalam kehidupan masyarakat.

“Perubahan norma baharu kehidupan yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat memberi impak terhadap emosi dan kesihatan mental individu itu.

“Antara isu kesihatan mental yang dikesan merangkumi masalah emosi dan tingkah laku termasuk tekanan perasaan (acute stress disorders), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), letih upaya (burnout) serta tingkah laku bunuh diri (suicide),” katanya.

Khairy juga menambah peningkatan trend tingkah laku bunuh diri mutahir ini juga memberikan isyarat bahawa perlunya tindakan segera diambil bagi membendung masalah kesihatan mental rakyat.