Malaysia Dateline

Hamzah dakwa Bersatu ada 500,000 ahli, sasarkan 1 juta akhir tahun ini

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu parti tersebut telah mencapai 500,000 keahlian setakat ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Bersatu berhasrat menggandakan jumlah keanggotaannya kepada satu juta ahli akhir tahun ini.

Hamzah berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun Bersatu Ke-4 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara malam tadi.

Dia juga menyangkal dakwaan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir bahawa 70 peratus anggota Bersatu telah meninggalkan parti itu untuk menyokong Pejuang yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mukhriz yang juga Presiden penaja Pejuang berkata, hal itu berlaku akibat ahli tidak puas hati terhadap pindaan Perlembagaan Bersatu yang membenarkan bukan Bumiputera menyertai parti komponen kerajaan tersebut.

Dalam majlis sama, seramai 10 pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai kementerian menerima sijil penghargaan Anugerah Khas Frontliner dan sepucuk sampul berwarna putih daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.