Malaysia Dateline

Hamzah, Pak Wan, Azmin bersaing rebut jawatan TPM

Hamzah Zainuddin

Tiga nama pemimpin Bersatu yang juga bekas menteri Kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebut-sebut untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Mereka ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Redzuan Mohd. Yusof dan ahli politik kontroversi, Datuk Seri Azmin Ali.

Hamzah adalah Ahli Parlimen Larut yang sebelum ini Menteri Dalam Negeri. Beliau memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum melompat kepada Bersatu.

Semalam, Hamzah diuar-uarkan sebagai timbalan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Naib Presiden Umno itu dikatakan dipersetujui sebagai Perdana Menteri baharu.

Redzuan Mohd. Yusof

Redzuan pula yang juga mesra dipanggil Pak Wan dicadangkan sebagai calon untuk kerusi nombor dua tersebut, sebelum ini adalah Menteri Tugas-tugas Khas.

Nama Redzuan muncul dalam satu kenyataan akhbar ‘tanpa nama’ yang mendakwa sebagai kelompok penggerak awal Bersatu.

Kumpulan itu menekankan kewajaran jawatan TPM diberi kepada pimpinan Bersatu yang paling awal membina parti itu atau digelar sebagai pengasas 12.

Azmin Ali

Sementara itu, Azmin, kini Ketua Penerangan PN merupakan bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.

Calon bagi kerusi nombor dua yang juga abang kepada selebriti Azwan Ali atau Diva AA itu dilihat ‘bertuah’ kerana menjawat portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sama ada semasa zaman kerajaan PH mahupun PN.

Ahli Parlimen Gombak sejak Pilihan Raya Umum 2008 itu pada masa sama juga merupakan Pengarah Pilihan Raya PN sekarang.