Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia dikenakan tindakan susulan mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara ini diakui Syed Abu Hussin selepas parti diwakilinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merancang untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap ahlinya yang ‘khianat’.
Syed Abu Husin bagaimanapun berharap agar kepimpinan Bersatu bertindak lebih ‘gentleman’ dan mempertimbangkan masalah yang dihadapi oleh wakil rakyatnya dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu turut menyentuh isu berhubung tindakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terlebih dahulu mengkhianati UMNO sebelum menyertai parti tersebut, lapor Sinar Harian.
“Selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) lagi, sudah timbul isu nak ambil tindakan undang-undang bila ada kes sebegini. Itu hak masing-masing (parti), tetapi mahkamah yang akan tentukan ia adalah salah atau tidak.
“Ramai pemimpin termasuk Hamzah sendiri ada isu yang sama. Pada masa itu, dia meninggalkan UMNO dan parti nak ambil tindakan. Sepatutnya dalam soal ini, tanganinya secara politik dan gentleman.
“Tanya dahulu kepada ahli Parlimen berkenaan, kenapa berbuat sedemikian kerana tentu ada sebabnya. Lagipun sokongan (terhadap Perdana Menteri) itu dibuat secara profesional,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad lalu bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang ‘khianat’ bagi maksud pengosongan kerusi.
Bersedia menghadapi pilihan raya kecil, Hamzah selaku Setiausaha Agung memaklumkan bahawa MPT turut bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama berulang kembali.
Untuk maklumkan, Syed Abu Hussin Hafiz adalah salah seorang wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Anwar namun kekal sebagai ahli parti.
Lima Ahli Parlimen Bersatu lain yang turut melakukan tindakan sama adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Baca juga: Najib diberi pengampunan? Menteri minta tunggu kenyataan rasmi