Malaysia Dateline

Hamzah tidak tahu apa berlaku dalam pasukan polis, dakwa Patriot

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara jelas menunjukkan bahawa beliau tidak tahu apa yang berlaku di dalam pasukan polis ekoran kenyataannya yang meragui dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tidak sewajarnya Hamzah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dakwaan Abdul Hamid.

“Dalam tegurannya terhadap IGP, menteri dalam negeri menyebut bahawa tidak ada kartel polis.

“Sedangkan semasa wawancara, IGP mengatakan ada pegawai muda yang ada kaitan dengan kartel (di luar) berhasrat memusnahkan imejnya supaya mereka dapat meneruskan pekerjaan kotor mereka.

“Jelas, menteri itu tidak memahami apa yang IGP katakan, atau dia tidak tahu apa yang berlaku dalam pasukan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berhasrat untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka dan memudahkan mereka melakukan “kerja-kerja kotor.”