Malaysia Dateline

Hamzah Zainuddin diingatkan jangan ganggu kerja KPN

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin digesa tidak mencampuri urusan Ketua Polis Negara berhubung pertukaran dan tugas angggota kanan PDRM.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, Hamzah Zainuddin tidak ada kuasa di bawah undang-undang untuk menangguhkan, apatah lagi untuk menggagalkan keputusan yang telah diambil oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador.

“Walaupun sekarang negara berada di dalam keadaan Darurat dan Parlimen digantung, ini tidak bermakna Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa yang melampaui peruntukan undang-undang sehingga mengganggu bidang kuasa Ketua Polis Negara,” kata beliau.

Bahkan katanya, keputusan menukarkan jawatan dan tugas pegawai-pegawai tinggi PDRM menurut kuasa Undang-Undang yang memperuntukkan “ Control and Command” PDRM terletak dalam bidang kuasa Ketua Polis Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, Hamid Bador telah mendedahkan wujudnya gejala yang dipanggil Kartel di dalam polis yang telah menjejaskan integriti PDRM .

Pada hari ini pula beliau dilaporkan telah mendedahkan bahawa dadah telah menjadi ancaman nombor satu negara.

Menurut Hamid jumlah rampasan dadah oleh Polis seperti syabu dan lain-lain dalam simpanan PDRM sekarang berjumlah RM3.5 bilion.

Malaysia juga dilaporkan telah menjadi sasaran kartel dadah antarabangsa yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat transit dadah sebelum diseludup ke negara ketiga.

“Saya menasihatkan supaya Menteri Dalam Negeri menarik balik arahannya yang meminta Ketua Polis Negara menangguhkan keputusan pertukaran pegawai-pegawai kanan Polis,”katanya.

Justeru Hassan menegaskan Ketua Polis Negara mesti diberi ruang dan sokongan semua pihak untuk membasmi jenayah di negara ini dan menjadikan PDRM sebuah agensi yang menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dapat berfungsi secara profesional, cekap dan amanah.

Dilaporkan Hamid Bador akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam tempoh terdekat bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

Menurut Hamid pertemuan itu adalah susulan daripada dakwaan wujud campur tangan menteri yang memberi arahan menangguhkan pelantikan Ketua Polis seperti tular dalam media sosial sejak semalam.