Malaysia Dateline

Hancur luluh hati bila ada kluster dialisis, kata doktor pakar Hospital Putrajaya

“Hancur luluh hati saya mendengar akan satu Kluster – Kluster Dialisis di Sabah.” Itulah luahan hati Dr Rafidah Abdullah, seorang pakar perubatan di Hospital Putrajaya ketika menghantar anak buahnya menjadi sukarelawan ke Sabah.

DR RAFIDAH

Menurut beliau, Unit Haemodialisis adalah berisiko untuk penularan Covid 19 jika seseorang di dalam unit menjadi positif.

Ramai akan dijangkiti dan juga ramai staf yang perlu dikuarantin, katanya.

“Walaupun begitu, rawatan tetap perlu diberikan kerana dialisis tidak boleh berhenti,” katanya.

Katanya, staf yang menjalankan dialisis memerlukan kemahiran.

“Jadi bila ini terjadi, agak kelam kabut juga staf yang tinggal,” tulis beliau lagi melalui twitternya.

Kerana tidak sanggup melihat situasi rakan-rakan mereka ini, wira dan wirawati ini tidak ragu-ragu untuk menawarkan diri menjadi sukarelawan ke sana, katanya.

“Mereka adalah penolong pegawai perubatan dan jururawat-jururawat terlatih. Mereka ini tunggak perkhidmatan kami,” kata beliau.

Beliau memohon agar pemergian para petugas ini ke sana diiringi dengan doa.

“Mohon iringi pemergian mereka pagi tadi dengan iringan doa. Doakan keselamatan mereka yang berkorban diri.

“Mereka meninggalkan keluarga menuju ke medan perang. Berperang dengan musuh yang kita semua tidak nampak.

“Doa kami, mengiringi anda semua.

“Bercerai kita roboh….” tulis Dr Rafidah lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan menambah staf sokongan perubatan di Sabah yang sedang kritikal sekarang ini.

“Tolonglah kerajaan Malaysia, tambahkanlah staf-staf sokongan ini. Bukan hanya kontrak; tapi mesti beri mereka lantikan tetap. Please. They are truly our unsung heroes and heroines,” tulis beliau.

“Kepada masyarakat Sabah amnya, khususnya Unit Dialisis Lahad Datu, jagalah logistik mereka ya,” katanya.