“Hancur luluh hati lepas periksa telefon suami, patutlah 7 tahun dia tak sentuh aku”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, keikhlasannya menerima kekurangan suami bakal dibalas dengan pengkhianatan yang amat menyakitkan.

Bayangkan, gadis berkenaan dengan rela hati menunggu suaminya selama hampir tujuh tahun agar lelaki itu bersedia memberi nafkah batin yang wajib ditunaikannya.

Hal ini kerana, suaminya itu menggunakan alasan ‘trauma’ yang konon dialaminya sejak kecil lagi sehingga tidak berani menyentuh isterinya sendiri selama tujuh tahun.

Wanita itu kemudian dikurniakan rezeki menunaikan umrah di tanah suci Mekah dan memanfaatkan peluang tersebut untuk memohon petunjuk daripada yang Maha Esa.

Sekembalinya dari umrah, wanita berkenaan tergerak hati untuk memeriksa telefon bimbit milik suami sebelum akhirnya menemui jawapan yang selama ini dicari-cari.

Hancur luluh hatinya selepas mengetahui perkara sebenar, berikut kami kongsikan luahan isteri yang hilang pertimbangan saat mencari jalan keluar dari masalahnya.

“Hai, hanya mahu luahkan benda yang sangat-sangat berat di hati ini. Sebenarnya saya sudah berkahwin selama hampir tujuh tahun. Tetapi tak pernah disentuh suami dengan alasan dia ada trauma sewaktu kecil. Jadi saya cakap dekat dia untuk tidak terlalu bimbang. Saya akan tunggu dengan sabar hingga suami betul-betul bersedia.

“Sebab sayangkan. Jadi kita sangguplah tunggu walaupun makan hati. Bulan demi bulan berlalu. Tahun ke tahun sampailah hari ini, satu usaha suami pun tak pernah nampak. Setiap kali, saya yang kena tanya dahulu. Saya sudah cuba sedaya upaya untuk tolong dia. Pengakhirannya sama, suami cakap belum bersedia lagi.

 “Sampai saya pernah terfikir, adakah silap itu datang dari diri sendiri. Sudah rasa seperti pengemis pula minta untuk disentuh suami. Tahun ini, Alhamdulillah saya direzekikan untuk pergi buat umrah. Saya minta banyak-banyak dan macam-macam dekat Allah. Apabila balik umrah, Allah akhirnya tunjuk dekat saya.

“Terdetik nak periksa telefon suami sebab dia selalu sorok setiap kali hantar pesanan mesej dekat ‘seseorang’ ini. Selepas balik umrah itu memang sangat jelas suami nak sorok sesuatu. Dia ingat saya tak perasan. Tetapi naluri isteri kuat mengatakan suami memang ada sorokkan sesuatu selama ini.

“Hancur luluh hati saya apabila membaca semua perbualan suami dengan lelaki lain. Tak tahulah sudah sejauh mana hubungan mereka berdua. Patutlah selama ini suami tak boleh sentuh saya. Semuanya sudah terjawab. Saya mati-mati percayakan dia. Tak sangka akhirnya hidup saya ditakdirkan sebegini.

“Lebih memburukkan keadaan, saya masih berdiam diri. Belum bersedia berhadapan dengan suami untuk beritahu saya sudah tahu apa yang dia buat di belakang. Saya tak tahu nak buat apa sebab sudah terlalu menyayanginya. Tetapi jujur, saya kecewa diperlakukan sebegini.

“Sehingga ke hari ini, saya masih layan suami seperti tiada apa yang berlaku. Tetapi jauh di sudut hati cuma berharap Allah tunjukkan saya jalan yang terbaik. Sama ada, saya beri lagi peluang kedua dan bantu dia atau pergi mengundur diri sahaja.” Luah wanita berkenaan menerusi akaun X yang khusus untuk dijadikan tempat luahan.

Baca juga: Jaga penampilan, Zainal Abidin akui cucuk botox, nak muka nampak sihat dan tegang