Hanipa ajar KPN kaedah tuntut wang Pengarah CID di Australia cara murah

Hanipa ajar KPN kaedah tuntut wang Pengarah CID di Australia cara murah

Alasan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin (foto) tidak menuntut semula wangnya yang dibekukan di Australia kerana yuran guaman di negara tersebut mahal tidak disenangi ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

Malah pengerusi Biro Undang-undang AMANAH Nasional itu memberikan tips bagaimana Wan Ahmad Najmuddin boleh membuat tuntutan pada kos yang rendah.

“Saya kasihan sungguh pada tuan IGP (KPN) kerana semakin kuat beliau buka mulut untuk cuba pertahan Pengarah CID yang dikatakan wangnya ditahan atau dilucut hak di Australia, semakin kuat orang sukar nak percaya kepada pembelaan beliau ke atas pengarah CID itu.

“Tuan IGP kata kali ini, seperti mana laporan media, sebab wang yang ditahan di Australia itu tidak dituntut adalah kerana yuran guaman (legal fees) di sana adalah terlalu mahal.

“Saya tak pasti adakah Pengarah CID itu telah pernah berjumpa dengan mana -mana peguam di Australia bagi membantu beliau. Jika sudah jumpa mungkin dia boleh kongsi dengan kita semua berapakah jumlah ‘fees’ (yuran) yang dikenakan,” ujarnya di laman facebook.

Menurut Hanipa terdapat beberapa mekanisme yang Wan Ahmad boleh lakukan bagi mengupah peguam di Australia menuntut wang berjumlah RM971,800 (A$320,000) yang dibekukan itu.

Wan Ahmad, katanya boleh mendapatkan bantuan guaman di negara tersebut dan sekiranya tidak layak, pegawai tinggi polis itu boleh mendapatkan khidmat firma guaman yang dikenali sebagai firma “no win, no fee”.

Melalui firma guaman “no win, no fee” ini, Wan Ahmad hanya perlu membayar yuran guaman jika berjaya mendapatkan wang yang dituntut.

“Dia akan kena bayar yuran guaman serta peratusan tambahan (extra percentage) dari wang kemenangan itu sebagai fee (yuran) yang dipanggil ‘uplift fee’,” ajar Hanipa.

Wan Ahmad juga, katanya boleh meminjam daripada bank atau mana-mana sumber untuk membiayai yuran guamannya.

“Apa nak takut. Dia boleh bagi tahu ‘financier’ di Australia yang dia ada wang sebanyak RM971,800 (A$320,000). Tentu ‘financier’ tak takut nak bagi pinjam,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald telah melaporkan pembekuan akaun Wan Ahmad Najmuddin dengan jumlah lebih A$320,000 (RM971,800) kerana disyaki mempunyai wang atau hasil daripada kegiatan jenayah.

Bagaimanapun, Fuzi berkata hasil siasatan mendapati wang tersebut diperoleh hasil daripada penjualan rumahnya di Shah Alam yang pada waktu itu berharga RM700,000 (A$260,770).

4.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 0.0
CATEGORIES
TAGS