Hanipa anggap Azalina langgar undang-undang pengerusikan sementara Parlimen

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menegaskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat, harus ada dua orang timbalan speaker dan jika terdapat kekosongan, timbalan speaker baru hendaklah dilantik secepat mungkin.

Menurutnya, salah satu jawatan timbalan speaker menjadi kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman berundur bulan lalu, dengan harapan supaya “reset” boleh dilakukan pada sidang Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Hanipa berpendapat adalah salah dari segi undang-undang untuk Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun meminta Azalina mempengerusikan sidang Parlimen semalam.

Katanya, hal itu kerana Peraturan (6) Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa jika terdapat kekosongan bagi jawatan timbalan speaker, Dewan Rakyat harus membuat pemilihan bagi jawatan itu “pada permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan Timbalan Yang di-Pertua itu kosong.”

“Pada pandangan saya, salah dari segi undang-undang untuk Azalina duduk sebagai timbalan speaker memandangkan dia telah berundur secara sah.

“Maksudnya, terdapat kekosongan yang mana Parlimen perlu isi secepat mungkin, iaitu aturan yang pertama.

“Soalnya bukan tentang Azalina. Ia tentang terang-terangan tidak menghormati undang-undang,” tegas Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Pemilihan timbalan speaker baru telah disenaraikan sebagai perkara pertama dalam aturan urusan mesyuarat selepas sesi soal jawab pada Selasa, tetapi ditangguhkan ke sidang Parlimen yang akan datang.