Hanipa berpuisi ulas perkembangan politik terkini

Hanipa berpuisi ulas perkembangan politik terkini

Pelbagai medium digunakan ahli politik masa kini bagi menyuarakan pandangan mereka tentang isu-isu semasa yang melanda negara.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin sebagai contoh memuatkan puisi di laman facebooknya bagi mengulas beberapa isu dan perkembangan semasa.

Ikuti puisi nukilan beliau.

Puisi Kleptokrat dan Si Lebai Malang

Malam ini kulihat di sebuah padang
Sebuah wayang yang gilang gemilang
Dihiasi baju merah terang benderang

Ku dengar juga suara kleptokrat yang
Amat gagah dan perkasa berkumandang
di belakangnya tegak berdiri seperti tiang
Para hulubalang keris melintang
Menunggu masa membodek lantang
Pemimpin kleptokrasi yang amat terbilang!

Lalu dijerit dengan lantang dan terang
bekas Presiden kita kini sudah jadi petualang
Pantang Melayu pemimpin ditentang
Para petualang pasti diganyang

Presiden parti suci pula namanya dijulang
Kalimah walak kian berkembang
Para pentaksub sudah tentu riang
Ini bukan kisah lebai malang
Inilah kesan tarbiyyah yang panjang

Hebat sungguh politik sejahtera dan matang
Dulu dibenci kini disayang
Oleh Si Kleptokrat kaki temberang!

COMMENTS

Wordpress (0)