Hanipa bidas gelagat tiga MP ‘parti hilang kuasa’

 

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin membidas gelagat tiga Ahli Parlimen (MP) BN dalam perbahasan di ewan Rakyat semalam yang antaranya dianggap sungguh melucukan.

Bagi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), Hanipa berpendapat kepentingan rakyat berpendapatan rendah juga perlu diambil kira.

“Dalam perbahasan di Parlimen semalam, YB Rembau bangkit isu GST bagi menyerang Kerajaan PH. Beliau kata langkah PH hapuskan GST menyalahi pendapat pakar ekonomi seperti akauntan dan lain-lain.

“Jika boleh bertanya semalam, saya nak tanya begini ‘Baguslah YB sibuk dengan pendapat seperti pakar akauntan, pendapat rakyat bawahan yang ‘terjerut leher’ mereka dengan GST, macam mana? YB tak mahu ambil kira sekali ke?” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan juga mengulas tentang soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ismail bertanyakan sama ada larangan untuk membincangkan skandal mega tersebut oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini masih lagi digunapakai.

“Saya rasa nak tergelak. Apapun, percubaan yang baik YB (Kuala Krau).

“Cuma nak kata bila mantan MO1 (Malaysian Official 1) pun kini sudah boleh didakwa berkaitan isu 1MDB, keberanian YB Kuala Krau itu cuba berusaha nak jarakkan isu 1MDB dari Parlimen memang satu adegan yang amat menghiburkan sepertimana terhiburnya kita menonton Maharaja Lawak,” tempelaknya.

Walau bagaimanapun, Hanipa menganggap paling lucu dalam perbahasan semalam apabila Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat “fatwa songsang” apabila menuduh wakil rakyat PH sebagai menggagalkan 1MDB.

“Sebab? Mereka semua sabotaj 1MDB. Saya rasa IMDB pun terkejut dengan ‘fatwa’ tersebut,” sindir peguam itu lagi dipetik daripada Facebook beliau.

9.7
OVERALL SCORE
: 10.0
6 user votes x 9.7