Malaysia Dateline

Hanipa kesal Pas sanggup sebar fitnah, berita palsu DAP hapus kuota bumiputera

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin kesal dengan sikap sesetengah pemimpin Pas yang didakwa sanggup menyebar fitnah dan berita palsu menerusi kenyataan kononnya DAP hendak menghapuskan kuota Bumiputera.

“Ada juga sesetengah pihak dari pembangkang, contohnya, pemimpin Pas yang mendakwa, kononnya DAP hendak hapuskan kuota Bumiputera, padahal itu ucapan Lim Kit Siang pada tahun 1969.

 “Kenapa harus kita bangkitkan perkara lama, perkara yang tidak sepatutnya? Kerana fitnah itu akan menimbulkan keresahan, sekali gus mengakibatkan terjejasnya perpaduan.

“Kita di Malaysia ini hendak kekalkan perpaduan, kerajaan yang stabil,” katanya seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini..

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri dengan penyebaran berita palsu.

 Mohamed Hanipa turut memberi amaran, setiap mereka yang menyebarkan fitnah tidak akan terlepas dari perbuatannya itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith di pejabatnya di sini, hari ini