Malaysia Dateline

Hanipa minta Menteri Undang-undang dirujuk jawatankuasa Parlimen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan diminta untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pembatalan Ordinan Darurat yang dianggap mengelirukan Dewan.

Perkara itu dicadang oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan dihantar menerusi sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Surat bertarikh 27 Julai 2021 itu memaklumkan bahawa sehingga sekarang tidak ada sebarang pemakluman rasmi atau pewartaan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat di dalam Warta Kerajaan.

Beliau juga mendakwa bahawa tindakan Ahli Parlimen Kota Bharu itu sebagai mengelirukan dan menghina Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

“Bahawa tidak ada sebarang jawapan daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang pemakluman dan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengenai pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat seperti yang dinyatakan.

“Maka inilah dipersetujui Yang Berhormat Kota Bharu hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya menerusi surat tersebut.

Surat itu juga dilihat telah diterima oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Susulan pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan telah dibatal sejak 21 Julai lalu, Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak agar Menteri memberi penjelasan sama ada pembatalan tersebut mengikut proses undang-undang sebenar atau tidak.

Bagaimanapun, Takiyuddin dimaklumkan akan memberi penjelasan pada Isnin depan, 2 Ogos iaitu hari terakhir Mesyuarat Khas Parlimen.