Hanipa perjelas pemansuhan Akta Berita Tak Benar

Hanipa perjelas pemansuhan Akta Berita Tak Benar

Timbalan Menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin kembali menjelaskan pendirian kerajaan berhubung pemansuhan Akta Berita Tidak Benar yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Ia susulan menteri itu gagal menghabiskan penggulungan selepas diasak dengan pelbagai celahan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati sambil mengajukan soalan untuk penjelasan.

Menurutnya, definisi akta itu sendiri adalah luas oleh kerana sekiranya fakta yang dikeluarkan adalah salah, ia tidak semestinya akan menjejaskan keselamatan awam atau keselamatan negara.

Justeru katanya, apabila kenyataan tersebut berpotensi dijadikan kesalahan jenayah sehingga mendedahkan pelakunya kepada tangkapan dan dakwaan, maka ia merupakan tindakan zalim dan drakonian.

“Berdasarkan seksyen 2 akta tersebut, berita tidak benar itu juga merangkumi sebarang kenyataan yang termasuk dalam kategori mengeluarkan kenyataan secara ‘factually wrong’ tapi tidak sampai tahap menjejaskan keselamatan awam atau keselamatan negara.

“Bagi kami ianya bukan sahaja zalim dan drakonian, ia juga berpotensi untuk memusnahkan sistem demokrasi dan kerja keras kerajaan PH untuk kembalikan semula kepada rakyat setelah sekian lama ianya dinafikan oleh rejim yang lama,” katanya dalam satu kenyataan Facebook beliau¬†semalam.

Semalam, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan turut membangkitkan tentang penggubalan akta khas memerangi berita palsu yang dilaksanakan di Singapura.

Namun, jelas Hanipa yang juga Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun), Singapura masih perlu membuktikan ‘mens rea’ dan keperluan membuktikan berita tidak benar itu boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Dua ciri penting menentukan seseorang itu melakukan kesalahan atau jenayah ialah niat yang salah (mens rea) dan tindakan atau perbuatan yang salah (actus reus).

“Pembahas yang membangkitkan hujah tersebut mungkin telah gagal meneliti Akta di Singapura. Di Singapura, keperluan membuktikan mens rea tidak dihapuskan. Begitu juga keperluan membuktikan berita tak benar itu boleh jejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Lihat sebagai contoh sekyen 7 Akta di Singapura.

“Ada YB pembangkang seperti YB Ketua Pembangkang dan YB Tanjung Karang yang mempersoalkan kenapa kita masih mahu memansuhkan akta tersebut setelah Dewan Negara tidak menyokong pemansuhan Akta 803.

“Saya ingin menjawab begini: Kami komited untuk memansuhkannya sebagai mana kami tidak rela mana-mana orang menjadi mangsa berita tidak benar.

“Kami juga tidak rela melihat mana-mana orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, jika diteliti dengan mendalam tanpa sebarang prasangka, pasti akan bersetuju bahawa akta tersebut agak bersifat drakonian dan amat berpotensi untuk disalahguna,” tegasnya lagi.