Malaysia Dateline

Hanipa persoal Speaker jawab soalan bagi pihak menteri

Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bermula hari ini tegang apabila Datuk Azhar Azizan Harun bertikam lidah dengan wakil rakyat pembangkang.

Mohamed Hanipa Maidin (Pakatan Harapan – Sepang) mempersoal tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu yang dilihat menjawab soalan bagi pihak menteri berhubung usul bagi memendekkan tempoh persidangan.

Reaksi berang Azhar sejurus Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan membentangkan usul bagi memendekkan tempoh persidangan hari ini.

Secara bersahaja, M Karupaiya (Pakatan Harapan – Padang Serai) menyebut, “kalau susah kita tukar kerajaanlah senang” ketika Azhar mengemukakan penjelasan berhubung penangguhan persidangan Dewan Rakyat.

Azhar dilihat marah dengan reaksi wakil rakyat PKR itu lantas mempersoal hubung kait antara kenyataan Karupaiya dengan penjelasan mengenai penangguhan persidangan tersebut.

“Apa pasal cakap macam itu? Apa kena-mengena dengan… kita ada usul 12(1) yang sepatutnya saya kemukakan masalah tanpa perbahasan,” jelas Azhar.

Bagaimanapun, Mohamed Hanipa Maidin (PH – Sepang) kemudian bangun mencelah dan mempertikai tindakan Azhar, “Speaker jangan jawab soalan bagi pihak menteri boleh tak?”.

Azhar lantas menyoal kembali, “Siapa jawab?”

Mohamed Hanipa: Tadi Yang Berhormat ditanya itu (Takiyuddin), Yang Berhormat jawab.

Azhar: Saya beri penerangan kerana saya yang pengerusikan mesyuarat ini.

Mohamed Hanipa: ‘Come on’ la Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat), we are tired la (kami penatlah).

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN – Sik): Duduklah Sepang (Mohamed Hanipa).

Perbahasan kemudian diteruskan dengan beberapa Ahli Parlimen lain memberikan pandangan mengenai usul berkenaan.

Usul dikemukakan Takiyuddin bagaimanapun lulus dengan sokongan suara terbanyak.

Dewan Rakyat hari ini hanya bersidang hingga jam 1 tengah hari susulan kebimbangan ada kakitangan Dewan Negara positif Covid-19.