Malaysia Dateline

Hanipa saran Menteri Agama tangani kes tangkapan solat jemaah ketika PKP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disaran mencari penyelesaian isu tangkapan solat berjemaah di masjid ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berpendapat hal itu berkaitan dengan portfolio Dr Zulkifli berbanding turun ke lapangan dengan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkata, adalah lebih penting Dr Zulkifli membantu kes 13 individu yang ditahan kerana solat Isyak di sebuah masjid di Telok Medan, Bagan Serai akhir bulan lalu.

“Tak perlulah buat benda ini YB (membuat tinjauan dengan lengkap memakai PPE). Maaf nak tanya, apa yang YB cuba tonjolkan? Takkan YB pun nak raih sokongan politik?

“YB tak rasakah lebih aula YB cari jalan bantu 13 insan yang ditahan kerana solat Isyak di masjid itu atau YB pergi tanya apa khabar keluarga mereka?” sarannya dipetik dari Facebook beliau.

Hanipa juga menyarankan Dr Zulkifli berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah menahan 33 individu kerana disyaki berkumpul untuk solat berjemaah di beberapa masjid dan surau di negeri itu.

“Tanya khabar mereka atau keluarga mereka. Atau YB pergi bincang dengan polis tentang tangkapan ke atas 116 warga asing kerana cuba berkumpul untuk solat Jumaat,
katanya.

Menurut Hanipa, kes tersebut menyentuh isu agama Islam walaupun mereka bukan warganegara Malaysia.

Jelas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Dr Zulkifli sebagai Menteri Agama mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan imej Islam walaupun terlibat dalam pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat yang sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik tokoh itu dan nama baik Islam.