Hanipa sedia bantu jika akaun anak Najib hidapi kanser masih dibeku

Hanipa sedia bantu jika akaun anak Najib hidapi kanser masih dibeku

Puteri Norlsa Mohd Najib

Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri sedia untuk membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk memastikan akaun salah seorang daripada empat anak-anaknya tidak dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Diberitakan anak mantan PM mengidap kanser dan menghadapi masalah dalam pembayaran bil kimoterapi kerana akaun dibekukan.

“Jika benar apa yang dilaporkan, saya rasa tidak ada masalah untuk mantan PM itu arahkan peguam beliau menulis kepada pihak yang berkenaan bagi keluarkan sejumlah wang dari akaun yang dibekukan itu untuk tujuan pembayaran bil.

“Saya tak pasti beliau telah lakukan hal yang saya katakan itu.

“Jika sudah, kena push lah dan boleh juga tulis surat kat saya atau Yb Menteri di JPM (law). InsyaAllah ,saya akan bincang dengan SPRM tentang perkara itu,” ujarnya dalam status dimuat naik di laman facebooknya malam ini.

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, jika bekas presiden Umno itu masih tidak lalukan (menerusi peguam) sepatutnya tidak boleh menuduh kerajaan Pakatan Harapan zalim.

“Jika belum buat, janganlah terus tuduh PH zalim,” ujarnya.

Najib dalam satu kenyataan  mendakwa kerajaan bertindak zalim apabila membekukan semua akaun anak-anaknya  termasuk cucunya.

Media melaporkan Puteri Norlisa, anak perempuan Najib dengan bekas isteri pertamanya Puteri Zainah Tengku Iskandar dilapor menghidap kanser tahap empat (akhir).

SPRM baru-baru ini dilapor membekukan akaun Puteri Norlisa bersama anak Najib yang lain, iaitu Nooryana Najwa, Mohd Norashman dan Mohd Nizar susulan siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Norlisa dikesan menghidap kanser tiga bulan lalu dan kini berulang-alik ke hospital sekali seminggu untuk rawatan.

Beliau dilapor mengalami masalah membayar bil hospital susulan pembekuan akaun banknya.

Najib dalam kenyataannya di Facebook hari ini bagaimanapun berkata beliau difahamkan akaun bank anak-anaknya tidak lagi dibekukan bermula pagi ini (Rabu).

Beliau justeru berkata, tindakan itu membuktikan pembekuan akaun anak-ananya sebelum ini sebenarnya tidak berasas dan tiada kena mengena dengan siasatan yang sedang berjalan terhadapnya.

Katanya, akaun peribadinya hanya digunakan untuk menerima gaji sebagai anggota parlimen dan bayaran pencen sebagai bekas menteri besar Pahang.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote