Hanipa ulangi gesaan Najib perlu saman WSJ

Hanipa ulangi gesaan Najib perlu saman WSJ

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekali lagi  ahli Parlimen pembangkang menggesa  kerajaan mengambil  tindakan menyaman akhbar Wall Street Journal (WSJ) jika tidak mahu wujudnya persepsi negatif umum terhadap kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata beliau menyokong saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan  Ismail,  agar Najib mengambil tindakan menyaman WSJ untuk membersihkan namanya.

“Kita berasa pelik apabila Najib hanya berdiam diri.

“Kalau beliau tak saman, rakyat mempunyai persepsi bahawa Perdana Menteri tahu yang beliau bersalah dan tidak berani untuk bersihkan nama.

“Najib boleh saman Harakahdaily, saman Rafizi Ramli dan Tony Pua kenapa tak boleh saman Wall Street Journal?” katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.

Semalam, Wan Azizah dalam ucapan membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata, dengan menyaman WSJ di mahkamah sama ada di dalam atau di luar negara, maruah negara di mata rakyat dan mata dunia antarabangsa dapat dipertahankan.

Pihaknya juga menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak mengelak ‘daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa’.

Bagaimanapun hari ini dalam sidang dewan rakyat melalui jawapan bertulis Najib yang juga Menteri Kewangan berkata,kerajaan tidak perlu menjawab tuduhan yang dibuat berasaskan kepada laporan media seperti yang dinyatakan mengikut Peraturan Dewan Rakyat 23 (1)(i).

Najib menjawab demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di Dewan Rakyat.

Pua bertanyakan soalan mengapa anak syarikat 1MDB, SRC International membayar RM170 juta kepada Putra Perdana Construction antara Julai 18 dan Ogos 8 pada 2014.

Pua juga bertanyakan mengapa RM27 juta daripada RM170 juta itu dipindahkan ke akaun Menteri Kewangan (Najib).

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng pula bertanyakan soalan siapakah yang meluluskan perpindahan wang RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Najib tanpa pengetahuan beliau.

Wang Chen juga bertanyakan adakah wang itu telah dipulangkan semula kepada SRC International.

“SRC International tidak mempunyai maklumat mengenai isu ini dan ia hanyalah dakwaan berasaskan laporan portal media,” jawab Najib menerusi jawapan bertulisnya.

TAGS

COMMENTS