Malaysia Dateline

Haniza harap PKR letak calon wanita dalam PRK Rantau

Ketua Wanita PKR, Haniza Talha memaklumkan, sejak penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), golongan wanita telah diberi peranan penting seperti memegang jawatan Menteri, Senator, Pegawai Tinggi Kerajaan dan Ketua Institusi Kerajaan.

Sehubungan itu, katanya pihaknya berharap kepimpinan parti akan mencalonkan calon wanita di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau yang akan diadakan pada 13 April depan, manakala hari penamaan calon ialah pada 30 Mac ini.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, berkata ini adalah bagi memenuhi ikrar Perlembagaan parti untuk mempunyai kuota 30 peratus wanita, dan berusaha sedaya-upaya untuk mempertimbang dan mengetengahkan calon-calon wanita.

“Saya berharap, trend ni akan berterusan berikutan negara tidak mempunyai masalah berkaitan kekurangan wanita yang berkebolehan dan berwibawa.

“Pada masa sama, kita juga berharap untuk melihat lebih ramai wanita menjawat
kedudukan tertinggi dalam angkatan tentera kita, yang sekian lama telah didominasi oleh kaum lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media sempena Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, Haniza yang juga Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, menyeru kaum hawa meraikan pencapaian wanita dan pada masa yang sama, meningkatkan kesedaran terhadap diskriminasi golongan itu.

“Marilah kita berazam untuk melakukan lebih baik supaya anak-anak
kita dapat hidup dalam dunia yang lebih baik, di samping menjadi lebih proaktif dan bertindak untuk kesaksamaan gender,” katanya.