Malaysia Dateline

Hannah dipanggil polis kerana tweet tanya perkahwinan kanak-kanak

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh memberitahu dirinya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman hari ini.

Ia susulan satu siri twitternya pada Mac lalu yang menyatakan kebimbangannya berkaitan hala tuju untuk menangani perkahwinan bawah umur yang diketepikan.

“Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet ini.

“Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh.

“Sidang Parlimen bulan Mei juga tak diberi peluang tanya soalan. Roadmap ini hasil kerja kuat pentadbiran bawah PH @drwanazizah,” ciapnya di Twitter.

Terdahulu, pada 9 Mac lalu, Hannah mempersoalkan apakah yang akan berlaku dengan rancangan di bawah kementerian terbabit untuk mengekang perkahwinan bawah umur, selepas Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai Timbalan Menteri KPWKM.

Ketika itu, Yeoh membangkitkan perkara itu setelah Timbalan Menterinya, Siti Zailah Mohd Yusoff dikatakan mempunyai rekod mempertahan perkahwinan bawah umur.

Selain itu, pemimpin Pas antaranya Naib Presiden serta Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat usaha untuk mengharamkan terus perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur sebagai ‘bertentangan dengan Islam’ dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Untuk rekod, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang yang dilantik menjadi Timbalan Menteri KPWKM.