Malaysia Dateline

Hannah sumbang RM29,000, beli van jenazah Masjid Al-Imam Al-Ghazali

Hannah Yeoh menyalurkan RM29,000 bagi membantu pengurusan Masjid Al-Imam Al-Ghazali membeli sebuah van jenazah untuk kegunaan masjid itu.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata peruntukan tersebut adalah penambahan kepada dana yang sudah dikumpulkan pihak masjid berkenaan.

“Saya dimaklumkan pihak masjid mengenai keperluan mendapatkan sebuah van jenazah dan difahamkan mereka sudah mengumpulkan dana tetapi masih tidak mencukupi.

“Saya sudah lihat kertas permohonan mereka dan saya menyalurkan RM29,000 untuk mencukupkan peruntukan itu.

“Saya percaya van jenazah ini akan memanfaatkan penduduk Segambut yang memerlukan kerana penyewaan sebuah van biasa agak mahal,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas menyaksikan van jenazah yang sedia digunakan di masjid tersebut di Kuala Lumpur, hari ini.

Hannah juga berharap wakil rakyat lain di bawah Kerajaan Perpaduan turut menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira kaum dan agama.

“Apabila permohonan (dana) masuk, saya tak lihat agama ini kena bagi berapa dan sebagainya, kalau ada apa saja keperluan kita akan salurkan mengikut kemampuan.

“Saya turut berterima kasih kepada penderma dana yang membantu membolehkan pembelian van ini,” katanya lagi.

Baca juga: ‘Fun Fair’ diarahkan tutup melibatkan kanak-kanak dan dua wanita