Malaysia Dateline

Hannah Yeoh dakwa Kementerian WP cuba manipulasi isu Taman Rimba

Kontrovesi projek pembangunan Taman Rimba Kiara terus menimbulkan polemik apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mendakwa Kementerian Wilayah sengaja memanipulasi untuk meraih sokongan awam terhadap projek tersebut.

Beliau berkata, wealaupun Khalid Samad memberi jaminan isu itu akan diputuskan oleh Kabinet, namun pegawai khas kementerian dan media ‘khas’ dipergunakan untuk memanipulasi isu berkenaan.

“Menteri WP telah mengatakan isu ini akan dibawa ke Kabinet tetapi hampir setiap minggu ada saja video atau kenyataan baru yang cuba menyakinkan orang ramai bahawa pelaksanaan projek ini pada skala lebih kecil adalah baik untuk warga Kuala Lumpur.

“Inilah sebabnya timbul isu konflik kepentingan. Apakah keperluan untuk pegawai khas dan pegawai akhbar beriya-iya membela sebuah projek Yayasan Wilayah Persekutuan di mana pengerusinya adalah juga menteri WP sendiri?,”soal Hannah lagi.

Katanya lagi adakah pemaju lain di Kuala Lumpur diberikan komitmen dan kemudahan sebegini untuk membuktikan kewajaran projek mereka?

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut kesal kerana pihak-pihak berkenaan yang sebelum ini menuduhnya meminggirkan kepentingan golongan miskin, kini mensasarkan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Janganlah ganggu penduduk. Mereka tidak akan meraih keuntungan walau seringgit pun dalam hasrat mereka mengekalkan Taman Rimba Kiara, berbeza dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang meletakkan harga RM160 milion di sebalik semua usaha ‘promosi’ yang dijalankan bersabit projek ini,” kata Hannah

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega pada April 2017 di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara.

Ia melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Selepas mengambil kira bantahan penduduk setempat, Khalid mahu projek pembangunan itu diteruskan namun tapak pembangunan dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.

Projek itu yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ialah usaha sama antara Yayasan Wilayah Persekutuan bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.