Hannah Yeoh dedah 10,000 pasangan Islam kahwin bawah umur

Sebanyak 10,000 kes perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan beragama Islam direkod berlaku di seluruh negara sejak 10 tahun lalu, dedah Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurutnya, jumlah itu turut merangkumi bilangan perkahwinan adat di Sarawak yang melibatkan kes sangat tinggi.

Jelasnya, perangkaan kementerian juga menunjukkan terdapat 4,999 kes sama bagi pasangan bukan beragama Islam sejak 2007 hingga 2017, dipetik dari Mingguan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, Hannah berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama semua Exco Wanita dari seluruh negera berhubung penetapan had kahwin kanak-kanak.

Mengulas kes perkahwinan budak di Kelantan baru-baru ini, beliau memberitahu, hal tersebut masih dalam siasatan dan keputusannya akan diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sesi penggulungan dalam sidang Parlimen minggu depan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival dan Pelancaran Logo Baharu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) di Pengkalan Chepa semalam.

“Untuk menaikkan had umur kahwin minimum (18 tahun) itu mesti dilakukan kerana merupakan sebahagian daripada janji kerajaan Pakatan Harapan. Namun, bagi melaksanakan perkara tersebut kita perlu faham kenapa ada jumlah kes sangat tinggi.

“Mengapa ada ibu bapa membenarkan anak jagaan mereka berkahwin pada bawah usia sedangkan itu merupakan tanggungjawab mereka?

“Setiap negeri berdepan dengan masalah berbeza dan lawatan saya hari ini ke Yokuk adalah untuk berdialog dengan pegawai JKM negeri ini di Rumah Kenangan bagi memahami cabaran yang dihadapi mereka,” kata Ahli Parlimen Segambut itu lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0