Malaysia Dateline

Hannah Yeoh balas pantun Pensyarah UUM

Berikutan Pensyarah UUM Kamarul Yusoff menjual pantun kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh lalu membalasnya dengan empat rangkap pantun.

Pantun yang dijual oleh Pensyarah UUM terbabit dikaitkan dengan isu bantuan yang disifatkan berunsur Kristianisasi.

Menurut Hannah bantuan daripada sesiapa sahaja perlu diterima asalkan sumber pendapatan itu halal dan tidak menyalahi undang-undang negara.

“Saya ni tidaklah pandai berpantun, tapi saya cuba beli apa yang dijual ya,” tulis Hannah.

Mencari juadah di bazar Ramadan,
Hajat berbuka dengan asam laksa,
Susah dan miskin tiada sempadan
Kami membantu tak kira bangsa.

Ayam goreng juadah pertama,
Digoreng garing bersama halia,
Yang kita bantu tak kira agama,
Kerana ia amalan yang mulia.

Pemimpin berkhidmat rakyat merasa,
Tidaklah rugi berbuat bakti,
Kenapa gelisah seperti berdosa,
Tumpang gembira senangkan hati.

Cili pedas dimakan korang,
Enak dimasak tambah selera,
Jangan jaga tepi kain orang,
Elak tohmahan tambah pahala.

Sebelum ini, Pensyarah UUM berkenaan menjual pantun kepada Hannah iaitu;

Pantun untuk Hannah Yeoh

Ingatan yang diberi adalah berbentuk amat umum sekali,
Bantuan evangelis wajar diterima dengan berhati-hati,
Mengapa pula si Hannah Yeoh yang seperti termakan cili?
Apakah ini adalah satu pengakuan kewujudan evangelisasi?

Lancangnya mulut mengata orang tidak lagi terperi,
Pengkhianat/rasuah penunggang kaum/agama gelar diberi,
Walhal yang diheret ke mahkamah itu pemimpin parti sendiri,
Walhal yang berpolitik di gereja dan masjid itu mereka sendiri.

Nota: Bila agaknya si evangelis akan berkelubung memasuki masjid lagi?