Malaysia Dateline

Hantar pulang 1,086 PATI Myanmar: Imigresen dianggap hina mahkamah

Gabungan pertubuhan sivil yang bekerjasama memperjuangkan hak asasi manusia membantah keras tindakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud menghantar pulang 1,086 warga Myanmar ke negara mereka.

Gabungan yang turut memperjuangkan hak kebebasan bersuara itu juga berkata, tindakan JIM boleh dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah kerana melanggar keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membenarkan permohonan dua badan hak asasi untuk mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang warga Myanmar ke negara asal.

“Timbul persoalan berkait kegagalan pihak JIM dalam mematuhi perintah Mahkamah Tinggi. Apakah tindakan mahkamah selanjutnya?

“Tindakan mengingkari perintah Mahkamah Tinggi adalah satu perbuatan yang menghina mahkamah dan merupakan satu kesalahan dibawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan yang harus dikecam.

“Pengingkaran ini harus dipandang berat untuk memberi jaminan keadilan dan ketekalan undang-undang kepada semua sektor bukan sahaja sektor hak asasi manusia, bahkan sektor perniagaan dan perindustrian supaya badan kehakiman tidak kehilangan integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama 37 buah organisasi masyarakat sivil yang antaranya terdiri dari Centre for Independent Journalism, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gerakan Media Merdeka (Geramm), dan Women’s Aid Organisation.

Semalam, mahkamah memutuskan untuk membenarkan permohonan dua badan hak asasi manusia iaitu Amnesty International Malaysia dan Asylum Access bagi mendapatkan perintah penggantungan pelaksanaan sementara untuk menghalang kerajaan Malaysia menghantar pulang warga Myanmar ke negara asal.

Bagaimanapun, Imigresen mengesahkan seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar telah dihantar pulang dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, (TLDM) Lumut Perak.

Khairul Dzaimee menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang itu merupakan PATI warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan semalam

Sementara itu, gabungan pertubuhan sivil menyifatkan, tindakan JIM adalah tidak adil dan tidak berperikemanusian menurut undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Terutamanya apabila terdapat pendedahan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) tidak diberi peluang untuk memeriksa dan mengesahkan identiti mereka yang telah dihantar pulang.

Pertubuhan itu turut menggesa agar pihak Mahkamah dan badan kehakiman mengambil pendekatan yang sewajarnya memandangkan isu ini melibatkan hal keselamatan komuniti rentan serta integriti kehakiman.

“Kami percaya adalah amat penting bagi mahkamah untuk menegakkan keadilan secara berwibawa sebagai sebuah badan bebas dan memastikan bahawa Jabatan Imigresen dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertanggungjawab atas tindakan mereka yang boleh dianggap sebagai tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya lagi.