Malaysia Dateline

Hantar pulang sisa plastik: JAS diiktiraf pihak antarabangsa

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa susulan usahanya menghantar pulang sisa plastik haram keluar dari negara ini.

Jabatan itu telah dianugerahkan Asia Environmental Enforcement Awards 2020 oleh United Nations Environment Programme (UNEP) baru-baru ini.

UNEP dalam satu kenyataan media pada 17 Februari lalu menyebut tindakan JAS telah menghantar pulang 42 kontena sisa plastik haram pada November 2019 menerusi kerjasama rapat dengan kementeriannya iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan pihak-pihak berkuasa dari United Kingdom (UK).

“Kerajaan Malaysia telah menyasarkan untuk menangani kebimbangan bahawa negara itu adalah salah satu daripada pengimport sisa plastik dunia.

“Sebagai hasil daripada langkah diambil oleh bahagian penguatkuasaan dalam Jabatan Alam Sekitar, lebih 200 kontena sisa plastik haram telah dihantar pulang dan banyak tempat kitar semula plastik haram telah ditutup,” kata kenyataan UNEP tersebut.

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin merupakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Julai 2018 hingga Februari 2020.

Dalam satu kenyataan, Bee Yin berkata, penganugerahan ini perlu dijadikan peringatan kepada semua bahawa Malaysia bukanlah ‘terlalu kecil’ untuk melawan keganasan alam sekitar (environmental terrorism).

Beliau berharap, usaha jabatan itu dapat memberi inspirasi kepada negara-negara membangun dan duna ketiga lain untuk menentang pembuangan sampah asing serta memberi suara lebih lantang dan penelitian antarabangsa terhadap pergerakan sampah merentas sempadan.

“…ini sehingga dunia secara keseluruhan akan menjadi lebih hijau dan baik pada masa depan,” katanya baru-baru ini.