Malaysia Dateline

Hantar tentera ke Asia Barat untuk misi keamanan bukan perang, kata Hishamuddin

Malaysia hanya akan menghantar tentera ke Asia Barat, khususnya Palestin untuk misi keamanan, bukan berperang, jika diminta berbuat demikian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendirian Malaysia adalah jelas iaitu untuk memastikan rantau berkenaan tidak bergolak, aman dan stabil selain mahu imej Islam tidak dicemari dengan imej negatif oleh pihak berkepentingan.

Beliau yang baru pulang dari rantau itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia bernasib baik kerana bersahabat rapat dengan negara di rantau itu yang memaklumkan sebarang perkembangan terkini.

“Bukan isu Palestin sahaja, kita mengikuti secara dekat perkembangan terkini di rantau berkenaan termasuk mendapatkan pandangan pemimpin di sana secara langsung.

“Kita juga ikuti secara dekat apa yang berlaku di Yaman, Qatar, Syria, Iraq dan Lubnan dan ini (Lubnan) lebih mendesak kerana ada anggota kita memainkan peranan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Transformasi Kompleks Mutiara Armada dan Kempen #PerkasaPerwira di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini.

Beliau diminta menjelaskan ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, yang menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar tentera ke Palestin, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Bahkan ucapannya itu turut mendapat teguran veteran ATM Brid Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji pada 11 Disember lalu  yang dipetik berkata, langkah itu “tidak bijak” kerana pertama sekali situasi berbangkit bukan isu ketenteraan.

Arshad berpendapat konflik antarabangsa di Baitulmaqdis adalah isu politik, langkah terbaik adalah membenarkan diplomasi menyelesaikan kekacauan.Jika diplomasi gagal, tindakan berikutnya boleh dalam bentuk kecaman masyarakat antarabangsa.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas meminta semua pihak agar tidak mensensasikan ucapannya itu sehingga keadaan menjadi tidak terkawal dan ‘berperang’ sesama sendiri.

Beliau berkata, musuh sentiasa mahu melihat orang Islam berbalah sesama sendiri sedangkan pendirian Malaysia adalah jelas dan tidak berbelah bahagi iaitu mengamalkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.