Malaysia Dateline

Hantu dalam almari, babi dalam mi kari

Andainya khabar angin “daging babi dalam mi kari” tersebar pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), barangkali sesetengah KOL (Key Opinion Leader, atau pemimpin pendapat utama) sudah tidak sabar-sabar untuk mengarang sajak yang bertemakan “Islam Terancam”.

Malah, segelintir NGO mungkin berhempas-pulas dari hulu ke hilir untuk menyemarakkan kempen boikot produk non-muslim.

Bukan kali pertama “fitnah” sedemikian berlaku, tetapi jangan kita berangan-angan bahawa ia adalah kali terakhir. Sama ada taktik ini bertujuan untuk menjahanamkan bisnes pesaing, mahupun untuk mengeruhkan situasi hubungan kaum, ia tetap berkesan untuk mencapai matlamatnya sungguhpun disanggah dengan fakta, walau betapa pantas sekalipun.

Sesungguhnya, pemilik OLD TOWN White Coffee boleh menampilkan bukti secara saintifik, bahawa daging dalam mi kari yang didakwa itu bukan babi, atau tidak mengandungi sebarang DNA babi, malah dibuktikan oleh pakar yang berwibawa sekalipun, ia gagal menghapuskan sepenuhnya kesan fitnah tersebut. Hal ini kerana “fitnah” sebegini beroperasi dengan serangan psikologi, mengambil kesempatan ke atas mentaliti masyarakat sedia ada.

“Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?” Pepatah ini akan disandarkan sebagai ayat kitab untuk menghalalkan kesangsian pengguna terhadap orang yang difitnah.

Berbuih-buih kita berhujah, dengan logik bahawa tidak masuk akal pemilik yang mahu memaksimakan keuntungan menggunakan daging babi yang lebih mahal untuk menggantikan ayam, akhirnya tetap gagal merungkaikan keraguan yang berserabut dalam otak mereka.

Situasi menjadi lebih keruh seandainya KOL yang berlatar-belakangkan agama juga berkongsi berita sedemikian di media sosialnya, membalutkan riskonya dengan tanda soal. “Daging babi dalam kari mi? Dahsyat betul seandainya berita ini benar…” Sudah tentu kita tidak asing dengan susunan ayat sedemikian.

Taktiknya untuk mempengaruhi pemujanya, yang merujuk KOL sebagai autoriti, “Takkan ustaz pun tipu?” Sedangkan pokok itu bergoyang lantaran ketukan tukul KOL untuk memahat persepsi palsu dalam minda kita. Lebih-lebih lagi, manusia cenderung untuk mencari hujah yang mengiyakan tanggapan sendiri.

Justeru, seandainya satu suasana diwujudkan di mana tiada kepercayaan antara komuniti muslim dengan non-muslim, sudah tentu komuniti muslim akan dipengaruhi untuk mempercayai bahawa “non-muslim menyimpan niat jahat untuk membubuh sesuatu yang tidak halal dalam makanannya”.

Akhirnya, hatinya akan berbisik, “Baik jangan cuba. Kalau boleh elak, baik jangan makan di situ. Takkan tak ada pilihan lain? Bukan darurat pun!”

Hakikatnya, inilah cabaran kita. Fitnah yang dilempar tanpa bukti, sudah tentu lebih mudah dicipta berbanding fakta yang menuntut sokongan bukti.

Tidak sukar untuk A menuduh B terlibat dalam satu skandal, tetapi sukar untuk B pula membuktikan dirinya tidak berada di tempat kejadian ketika skandal berlaku dan sebagainya. Apatah lagi, apabila B menyaman A, dan ditarik balik fitnah tersebut dengan permohonan maaf oleh A, berita ini jauh lebih rendah penyebarannya berbanding ketika fitnah disebarkan.

Tepuk dada tanya selera, siapa daripada kalangan mereka yang menyebarkan video tersebut, sudi memohon maaf setelah dibuktikan khabar itu fitnah semata-mata?

“Bukan untuk tuduh, sekadar peringatan agar kita lebih berhati-hati dengan makanan kita, apa salahnya?”

Bukankah ini sikap mereka yang terkantoi untuk menyebarkan berita palsu? “Saya dah kata, kalau benar berita itu. Kalau tidak, baguslah .…” Bukankah ini dalih-dalih yang digunakan untuk memboloskan diri daripada tanggungjawab?

Di sini cabaran kita. Sungguhpun lebih sukar untuk menyediakan fakta daripada melontarkan fitnah, namun ia masih masalah teknikal yang boleh diatasi.

Cabaran yang lebih sengit, bagaimana kita menangani psikologi dan mentaliti masyarakat kita, yang sentiasa diselubungi keresahan dan kegusaran, dan berpegang kepada nilai yang mungkin berbeza daripada kita?

Misalnya, seorang budak kecil ditakut-takutkan dengan cerita hantu, yang sembunyi di dalam almari. Tidak kira mahu dibuktikan dengan cara saintifik bahawa hantu tidak wujud, mahupun dari segi agama bahawa itu adalah cerita mengarut, ia tetap gagal menghakis rasa seram dalam hati budak kecil itu.

Ini kerana budak kecil itu mempercayai bahawa hantu itu wujud. Maka, apabila pintu almari terbuka kerana longgar, ataupun berayun ditiup angin, ia dijadikan petanda kewujudan hantu dalam almari.

Malah, apabila dibuka almari itu dan didapati tiada hantu di dalamnya, budak kecil itu tetap menganggap ianya kerana kuasa ghaib hantu untuk mengaburi matanya.

Boleh jadi budak kecil itu sudah tidak takut lagi dengan cerita hantu dalam almari apabila dewasa, mereka kini takut dengan babi dalam mi kari.